Sabtu, April 16

TUJUAN DAN PENERIMAAN

1. TUJUAN
Tujuan merupakan salah satu tahap runtutan. Tujuan dan penerimaan merupakan salah satu ciri penting dalam wacana yang sangat berkaitan dengan tautan dan runtutan. Setiap perkara yang diujarkan dalam bentuk lisan atau tulisan mestilah mempunyai tujuan atau objektif tertentu. Tujuan tersebut pula adalah ditentukan oleh penulis atau penutur itu sendiri. Sesuatu ujaran atau tulisan itu mestilah mempunyai tujuan untuk mewujudkan interaksi yang komunikatif. Akhirnya, tujuan tersebut akan menentukan jenis wacana yang digunakan. Terdapat beberapa cara yang digunakan untuk menentukan tujuan seseorang penulis atau penutur itu.

Menentukan Tujuan Melalui Ayat
·         Ayat tanya
Ayat tanya memainkan peranan yang penting dalam mengenalpasti tujuan terhadap sesuatu ujaran atau tulisan. Menurut Tatabahasa Dewan (2008), terdapat dua jenis ayat tanya iaitu ayat tanya terbuka dan ayat tanya tertutup. Kedua-dua jenis ayat ini pula akan menghasilkan tujuan tertentu. Sekiranya pertanyaan merupakan ayat tanya terbuka, jawapan adalah bersifat pelbagai. Manakala bagi ayat tanya tertutup pula jawapannya hanya memberi pilihan sama ada ya atau tidak.
·         Ayat perintah
Ayat perintah merupakan ayat yang digunakan untuk menimbulkan sesuatu tindakan. Menurut Abdul Hamid Mahmood (2006), ayat perintah merupakan ayat yang bertujuan untuk memberi arahan, larangan, ajakan atau menyampaikan permintaan.
·         Ayat seruan
Menurut Ahmad Khair (2009), ayat seruan digunakan untuk mengekspresikan perasaan yang kuat, kagum, marah, sakit atau hairan.

Menentukan Tujuan Melalui Pemerihalan Teks
·         Runtutan
Penulis atau penutur akan menggunakan rentetan bagi tujuan memerikan teks atau peristiwa secara berurutan. Teks yang berurutan akan dibaca atau didengar mengikut rentetan. Semakin pembaca atau pendengar membacanya atau mendengarnya, mereka akan lebih mudah memahami tujuan tekas tersebut ditulis atau diujarkan.
·         Tautan
Tautan digunakan untuk mewujudkan pertalian antara teks. Tautan ini boleh dilihat melalui pengulangan, sinonim, antonim, ekuivalensi, penghubung, elipsis, substitusi dan kata ganti. Apabila berlaku aspek-aspek tautan di atas, tujuan terhadap sesuatu teks itu diujarkan atau ditulis akan semakin jelas.


2. PENERIMAAN
Penerimaan merupakan pemahaman pendengar atau penutur terhadap teks yang diujar atau ditulis. Aspek penerimaan ini sangat berkait rapat dengan aspek tujuan. Hal ini disebabkan oleh kefahaman yang tinggi tentang tujuan sesuatu teks akan menyebabkan tahap penerimaan terhadap teks tersebut turut meningkat. Maksudnya di sini ialah pembaca atau pendengar akan lebih memahami teks tersebut.
Seseorang pembaca atau pendengar akan menentukan sesebuah wacana yang dihasilkan oleh penulis mahupun penutur dapat difahami atau tidak. Oleh yang demikian, pendengar atau pembaca merupakan penerima sesebuah wacana.

Tahap Penerimaan
Seperti yang telah dibincangkan, tahap penerimaan terhadap sesbuah teks adalah bergantung kepada pemahaman teks. Teks yang dibaca atau didengar mestilah secara berurutan. Tahap penerimaan yang tinggi kebiasaannya mempunyai tahap pemahaman yang tinggi terhadap tujuan juga.
Tahap penerimaan yang rendah pula dapat dilihat apabila pembaca tau pendengar tidak memahami teks yang dibaca atau diujarkan. Sekiranya ayat itu tidak bermaknaserta tidak dapat difahami oleh pembaca mahupun pendengar, ayat tersebut bukan dikategorikan sebagai sebuah wacana. Hal ini kerana wacana tau teks yang tidak berurutan sukar untuk difahami. Apabila hal ini berlaku, maka tahap penerimaan pembaca dan pendengar adalah rendah.

Tahap Kebolehbacaan
Kebolehbacaan merupakan tahap yang melibatkan aspek proses membaca iaitu kefahaman dan kefasihan. Hal ini disebabkan oleh pemahaman bukanlah sekadar dikaitkan dengan makna-makna yang terdapat dalam tulisan bercetak, tetapi juga turut bergantung kepada kelancaran, kefasihan, tarikan dan minat terhadap bahan yang dibaca. Hal ini penting kerana supaya pembaca tau pendengar dapat memahami sesebuah wacana yang disampaikan oleh penutur atau penulis.
Tahap kebolehbacaan juga turut menegaskan tentang masalah pemahaman terhadap pengetahuan makna dan juga frasa serta bolehmenghubungkan bahan-bahan yang dibaca dengan pengalaman seseorang. Oleh itu, aspek kebolehbacaan oleh seseorang pembaca dalam tahap penerimaan sangat penting suapayadapat membaca seseuah wacana dengan baik dan seterusnya dapat memahami tujuan wacana yang ingin disampaikan.


RUJUKAN:
Mohd Rashid Md Idris, Norliza Jamaluddin, Abu Hassan Abdul & Adenan Ayob. (2012).Tatabahasa Wacana. Tanjong Malim: Emeritus Publication. 







Tiada ulasan:

Catat Ulasan